Sistem penghadaman dan otak mempunyai hubung kait sejak
daripada lahir. Ia bermula dari dalam rahim. Di peringkat embrio, ketika
pembentukan sistem saraf, rabung yang dikenali puncak neutral, berpecah kepada
dua organ. Kemudian, sistem itu membentuk otak dan sistem penghadaman. Justeru,
tidak hairanlah ada yang mengatakan bahawa sistem penghadaman juga dikenali
sebagai otak kedua. Ini bermakna sistem penghadaman dan otak saling berhubung
kait oleh saraf vagus, di mana kebanyakan maklumat bergerak dari sistem
penghadaman ke otak dan kembali semula.
Sebenarnya, sistem penghadaman berupaya mempengaruhi
keseluruhan emosi seseorang. Ini berikutan ia mempunyai kuasa kimia yang
menghasilkan sebahagian besar bahan kimia yang diperlukan badan kita. Ini
termasuk Serotonin, iaitu bahan kimia yang mencetuskan perasaan 'rasa-baik'
dihasilkan oleh sistem penghadaman. Begitu juga dengan lebih daripada 30
neurotransmitter lain.
Meskipun kebanyakan neurotransmitter hampir sama dari segi
biokimia dengan yang boleh didapati di dalam otak, namun bahan kimia berkenaan
tidak memasuki otak tetapi ia memberi isyarat kepada sistem saraf pusat
menerusi probiotik. Maka, apabila berlaku berlaku pengurangan bakteria baik
dalam sistem penghadaman, jadi semakin kurang neurotransmitter yang dapat
dihantar ke sistem otak sekali gus mempengaruhi emosi dan perasaan. Dalam erti
kata lain, sistem penghadaman bertanggungjawab terhadap pencernaan makanan,
sistem imun dan pengawal-selia hormon. Ini menarik minat ramai penyelidik
melakukan kajian mengenai flora usus, yang dikatakan mempengaruhi emosi dan
tekanan.
Kumpulan saintis ini juga mendapati bahawa hubungan intim
antara sistem penghadaman dan otak adalah dwi-hala, bagaimana otak boleh
menghantar rasa tidak selesa kepada perut anda, sistem penghadaman juga boleh
menyampaikan rasa tenang atau gelora kepada otak.
Jadi masyarakat disarankan mengamalkan pemakanan yang baik
untuk sistem penghadaman. Antaranya, mempelbagaikan pengambilan buah-buahan dan
sayur-sayuran. Ia bukan saja menyihatkan tetapi kaya sumber serat, vitamin,
mineral dan antioksidan. Pemakanan seimbang memupuk bakteria yang baik untuk
sistem penghadaman yang sihat. Demikian juga, tabiat pemakanan zaman sekarang
ini dikaitkan dengan pembinasaan flora dalam sistem penghadaman. Justeru, kita
disarankan menambah baik sistem penghadaman dengan mengambil makanan yang mengandungi
probiotik. Dengan pengambilan makanan yang kaya dengan probiotik, sistem
penghadaman akan menjadi seimbang.