Ads 468x60px

SK PADANG BERAMPAH, PETI SURAT 61, 89857, SIPITANG, SABAH.

Labels

Showing posts with label INFO DAN ISU KESIHATAN. Show all posts
Showing posts with label INFO DAN ISU KESIHATAN. Show all posts

Perkaitan Otak dan Sistem Penghadaman



Sistem penghadaman dan otak mempunyai hubung kait sejak daripada lahir. Ia bermula dari dalam rahim. Di peringkat embrio, ketika pembentukan sistem saraf, rabung yang dikenali puncak neutral, berpecah kepada dua organ. Kemudian, sistem itu membentuk otak dan sistem penghadaman. Justeru, tidak hairanlah ada yang mengatakan bahawa sistem penghadaman juga dikenali sebagai otak kedua. Ini bermakna sistem penghadaman dan otak saling berhubung kait oleh saraf vagus, di mana kebanyakan maklumat bergerak dari sistem penghadaman ke otak dan kembali semula.

Sebenarnya, sistem penghadaman berupaya mempengaruhi keseluruhan emosi seseorang. Ini berikutan ia mempunyai kuasa kimia yang menghasilkan sebahagian besar bahan kimia yang diperlukan badan kita. Ini termasuk Serotonin, iaitu bahan kimia yang mencetuskan perasaan 'rasa-baik' dihasilkan oleh sistem penghadaman. Begitu juga dengan lebih daripada 30 neurotransmitter lain.

Meskipun kebanyakan neurotransmitter hampir sama dari segi biokimia dengan yang boleh didapati di dalam otak, namun bahan kimia berkenaan tidak memasuki otak tetapi ia memberi isyarat kepada sistem saraf pusat menerusi probiotik. Maka, apabila berlaku berlaku pengurangan bakteria baik dalam sistem penghadaman, jadi semakin kurang neurotransmitter yang dapat dihantar ke sistem otak sekali gus mempengaruhi emosi dan perasaan. Dalam erti kata lain, sistem penghadaman bertanggungjawab terhadap pencernaan makanan, sistem imun dan pengawal-selia hormon. Ini menarik minat ramai penyelidik melakukan kajian mengenai flora usus, yang dikatakan mempengaruhi emosi dan tekanan.

Kumpulan saintis ini juga mendapati bahawa hubungan intim antara sistem penghadaman dan otak adalah dwi-hala, bagaimana otak boleh menghantar rasa tidak selesa kepada perut anda, sistem penghadaman juga boleh menyampaikan rasa tenang atau gelora kepada otak.

Jadi masyarakat disarankan mengamalkan pemakanan yang baik untuk sistem penghadaman. Antaranya, mempelbagaikan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Ia bukan saja menyihatkan tetapi kaya sumber serat, vitamin, mineral dan antioksidan. Pemakanan seimbang memupuk bakteria yang baik untuk sistem penghadaman yang sihat. Demikian juga, tabiat pemakanan zaman sekarang ini dikaitkan dengan pembinasaan flora dalam sistem penghadaman. Justeru, kita disarankan menambah baik sistem penghadaman dengan mengambil makanan yang mengandungi probiotik. Dengan pengambilan makanan yang kaya dengan probiotik, sistem penghadaman akan menjadi seimbang.


Sumber : Berita Harian

Kes ketiga pelajar dipatuk ular

Rembau: Seorang lagi pelajar lelaki tingkatan empat dipatuk ular ketika membersihkan ladang ternakan ayam terbiar berhampiran sebuah sekolah menengah teknik di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, remaja berusia 16 tahun terbabit dikatakan menyedari kehadiran seekor ular ketika sedang membersihkan kawasan itu dan cuba menangkapnya sebelum dipatuk pada lengan kirinya.
Pengarah Kesihatan negeri Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, sejam selepas kejadian mangsa muntah dan pengsan sebelum dihantar oleh ahli keluarganya ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.
"Pemeriksaan doktor mendapati ada kesan lebam akibat patukan ular pada lengan kiri mangsa. Mangsa bagaimanapun dilaporkan stabil dan dibenarkan keluar wad hari ini," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kejadian itu adalah kes ketiga dilaporkan di negeri ini selepas kes pertama yang berlaku pada 20 April lalu membabitkan murid perempuan tahun dua Sekolah Kebangsaan Chembong dan kes kedua membabitkan seorang pelajar lelaki tingkatan tiga Sekolah Menengah Dato Abdul Razak, Seremban, kelmarin.

Raja Noraina Raja Rahim 
rnoraina@hmetro.com.my

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/133320#sthash.jP717LMD.dpuf

Kempen Lihat Hidu dan Rasa di SK Padang Berampah

Program Promosi Keselamatan Makanan pada 24.03.2016 (Isnin)
" Kempen Lihat, Hidu dan Rasa "
Anjuran Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort.

Terima kasih atas aktiviti-aktiviti yang menarik pada hari tersebut. Murid sangat teruja dengan kehadiran Maskot Skuad Germ Buster.
Sekitar suasana semasa program



















Isu Kantin : Pengusaha Kantin Masih Menjual 15 Jenis Makanan Tidak Sihat



Abai Garis Panduan Tangani Masalah Obesiti Murid Sekolah




KEMENTERIAN Pelajaran perlu melaksanakan segera larangan penjualan 15 makanan diproses di kantin sekolah yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan sejak sembilan bulan lalu dan sepatutnya berkuatkuasa Jun lepas. Ini kerana kegagalan mengeluarkan arahan atau surat pekeliling kepada pengusaha atau operator kantin sekolah menyebabkan makanan dan minuman tidak berkhasiat itu masih dijual secara berleluasa.


Tinjauan Berita Harian di sekolah di Subang Jaya dan Petaling Jaya mendapati juadah itu termasuk ais krim dan minuman bergas yang tersenarai sebagai makanan dilarang mengikut Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata antara kekangan pelaksanaannya adalah ketiadaan kerjasama daripada pihak pengusaha kantin atau operator kantin sekolah, pihak sekolah serta ibu bapa.

“Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan oleh Kementerian Kesihatan hanya boleh dilaksanakan menerusi kerjasama pihak sekolah, operator kantin, pelajar dan ibu bapa.
“Tindakan terhadap pengusaha kantin sekolah tidak boleh dilaksanakan kerana ia bukan dasar sebaliknya hanya garis panduan,” katanya kepada Berita Harian selepas melancarkan Pertandingan Antiaedes Renjer Ridsect peringkat Sekolah Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya, baru-baru ini. 

Pada pengumuman April tahun lalu, Kementerian Pelajaran sepatutnya mengeluarkan pekeliling kepada pihak sekolah untuk melarang penjualan makanan larangan berkenaan, bagaimanapun sehingga kini tiada tindakan diambil.Cadangan larangan 15 jenis makanan yang dilarang penjualannya di sekolah terkandung dalam draf garis panduan penjualan makanan di kantin sekolah yang diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 4 April tahun lalu.

Berita Harian sebelum ini menyiarkan makanan diproses seperti burger, sosej dan nuget serta teh dan kopi ialah antara 15 jenis makanan `tidak sihat' yang dilarang dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai Jun tahun lalu. Makanan lain ialah mi segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan makanan ringan.

Bagaimanapun, ada 70 jenis makanan, termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu, disenaraikan sebagai makanan yang boleh dijual mengikut garis panduan baru. Garis panduan itu dirangka bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes dalam kalangan pelajar. Penyenaraian 70 jenis makanan dan larangan 15 jenis makanan itu disediakan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Larangan penjualan makanan tidak sihat sejajar dengan usaha kementerian menangani masalah obesiti dan diabetes yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat, terutama kanak-kanak, selain dijadikan langkah pencegahan peringkat awal.

OLEH MOHD AZRONE SARABATIN
AZRONE@BHARIAN.COM.MY
2012/02/08


Berita Harian Online: 8 Februari 2012

Isu Kantin : Pantau Penjualan Makanan Di Sekolah

Pantau Penjualan Makanan Di Sekolah

Ditulis oleh Norkumala binti Awang. Posted in Berita Harian
Senarai makanan yang dilarang dijual di kantin

Musim persekolahan telah pun bermula. Ini bermakna banyak masa anak-anak dihabiskan di sekolah. Bermulanya sesi pembelajaran pada pagi hari, berakhir pada waktu tengah hari dan adakalanya menganjak sehingga waktu petang. Boleh dikatakan sepanjang hari, aktiviti anak-anak dilonggokkan di sekolah termasuklah makan dan minum. Namun, bagaimana pula corak pemakanan anak-anak apabila di luar pemantauan ibu bapa? Secara tidak langsung, pihak kantin sekolah memainkan peranan penting dalam menyediakan makanan untuk anak-anak di sekolah.
Apakah pengusaha kantin sekolah mahupun pihak sekolah sendiri peka dengan perkembangan kesihatan dan pemakanan pelajar-pelajar semasa waktu persekolahan? Atau mereka hanya menjalankan tugas mendidik, menyediakan dan menjual makanan serta mencari keuntungan semata-mata tanpa menilai ia merupakan satu tanggungjawab yang besar?

Senario di kantin-kantin sekolah pada hari ini menghidangkan pelbagai jenis makanan yang menjadi pilihan pelajar-pelajar.  Namun, yang menjadi isu pokok yang dibimbangi ibu bapa ialah jenis dan kepelbagaian makanan yang dijual di kantin adalah makanan rapu, makanan segera dan tidak berkhasiat.

Biarpun sudah ada Garis Panduan Penjualan Makanan dan Minuman di Kantin Sekolah yang dikeluarkan oleh kerajaan menyenaraikan makanan yang sesuai dijual di kantin sekolah, namun ia seolah-olah helaian kertas yang tidak memberi apa-apa makna jelas dan implikasi. Penjualan burger, hotdog, nugget, ‘junk food', minuman ringan dan berperisa terus berleluasa dijual kerana makanan inilah yang paling laris dan menarik perhatian pelajar-pelajar. Bermakna, pengusaha kantin hanya melihat keuntungan yang cepat manakala pihak sekolah hanya memandang isu pemakanan sihat hanya sebelah mata dan ia semata-mata bergantung kepada pemilihan para pelajar.

Di bawah garis panduan tersebut juga menggalakkan pengusaha kantin memastikan tahap keselamatan dan juga kebersihan dalam penyediaan makanan kepada pelajar-pelajar. Oleh itu, pihak kantin tidak harus memandang enteng akan isu ini dan menjadikan ia hanya lontaran idea dan tidak diselaraskan melalui amalan harian dalam penyediaan dan penjualan makanan khususnya.

Kanak-kanak yang banyak mengambil makanan segera dan tidak berkhasiat akan meningkatkan risiko masalah kesihatan. Sekiranya setiap hari dihidangkan dan diberi pilihan dengan makanan tersebut, ia akan menjadi suatu kelaziman dalam amalan pemakanan mereka. Golongan yang masih belum matang ini tidak diberi pilihan dan dipandu untuk mendapatkan yang terbaik dalam pendidikan pemakanan dan status kesihatan mereka.

Kajian yang dijalankan oleh University California of Medical School mendapati kanak-kanak yang mengambil 12 batang atau lebih ‘hotdog' dalam sebulan mempunyai risiko 9 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit leukimia. Penggunaan bahan pengawet, pewarna tiruan dan perisa tambahan dalam makanan segera memberi kesan buruk kepada kesihatan. Banyak risiko kesihatan yang lain akan timbul sekiranya mereka berterusan menjadikan makanan segera sebagai hidangan harian. Contohnya masalah obesiti, kanser, diabetes, penyakit jantung, masalah penghadaman, peningkatan kolestrol dan sebagainya yang akan meruncingkan lagi tahap kesihatan mereka. Ini menjadikan hidup anak-anak tidak berkualiti dan tidak dapat menumpukan kepada pembangunan fizikal, mental dan spiritual yang sihat.

Oleh sebab itu, pendidikan pemakanan sihat perlu diterapkan pada anak-anak. Di samping peranan ibu bapa di rumah, peranan pihak sekolah dan pengusaha kantin perlu disinergikan untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak dalam proses tumbesaran mereka. Pihak sekolah perlu melaksanakan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia menjadi satu batu asas yang kukuh dalam mewujudkan kantin yang sihat dan selamat untuk pelajar sekolah.

Walaubagaimana pun, pelaksanaan garis panduan pemakanan sihat tersebut juga perlu dipantau. Barangkali kerana tiadanya penguatkuasaan daripada pihak atasan, penjual dan pengusaha kantin bebas untuk menjual apa sahaja yang dirasakan memberikan keuntungan berganda dan melariskan penjualan mereka. Pelajar-pelajar sekolah yang akan menjadi mangsa kerana mereka hanya diberi pilihan makanan tidak sihat yang pada pendapat mereka, ia adalah sedap, menarik perhatian, menyelerakan dan memudahkan.

Hal sebegini sewajarnya mendapat perhatian sama ada daripada pentadbir sekolah mahu pun pengurusan atasan. Sekiranya garis panduan tidak dikuatkuasakan, penjualan makanan dan minuman tidak berkhasiat tersebut berleluasa dan tidak dapat dikawal. Malahan, ia memperlihatkan tiada kesedaran dan kerjasama daripada pengusaha kantin. Banyak makanan yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dilarang dijual di semua kantin sekolah termasuklah mi segera, gula-gula, jeruk, kentang goreng dan banyak lagi. Namun, apa yang dilarang, itulah yang dilaksanakan oleh mereka tanpa mempedulikan kesihatan anak-anak. Perkara ini menjadi kebimbangan para ibu bapa kerana anak-anak sudah pasti akan terpengaruh untuk membeli makanan tersebut dan ianya adalah di luar kawalan ibu bapa.

Dalam pada itu, ketegasan pihak berkuasa tempatan juga diperlukan terhadap penjaja kecil yang menjual makanan dan minuman ringan di luar kawasan sekolah. Tidak ada maknanya sekiranya pihak sekolah begitu ketat melaksanakan peraturan pemakanan di kantin, tetapi pelajar boleh mendapatkan makanan tidak berkhasiat dengan mudah di luar sekolah apabila pulang.

Isu ini bukanlah picisan dan boleh dipandang remeh oleh semua individu. Ia tidak hanya berkisar di dalam sekolah sahaja, malah di luar sekolah dan peranan ibu bapa di rumah. Semua pihak perlu memainkan peranan bermula daripada ibu bapa, guru, pihak sekolah, pengusaha kantin, penjaja dan juga pihak berkuasa. Setiap individu perlu ingat bahawa bukan setakat mencari rezeki dari sumber yang halal untuk diberi makan kepada anak-anak yang menjadi tanggungjawab kita, tetapi juga memastikan ia adalah baik (tayyib). Ini kerana pemakanan sihat menjadi teras kepada pembentukan peribadi dan sahsiah anak-anak di samping dengan tumbesaran yang sihat sempurna.

Isu Kesihatan : El Nino




BEBERAPA agensi cuaca dunia mengumumkan 2015 adalah tahun paling panas dalam sejarah dunia, sejak pemantauan suhu secara sistematik dilaksanakan bermula sekitar 1880-an. Dari kawasan sejuk di Siberia, sehingga tengah lautan di sekitar kawasan tropika, semuanya menunjukkan peningkatan sama. Setakat yang difahami, semua ini adalah akibat fenomena El Nino yang melanda dari pertengahan tahun lalu. 

Tahun lalu El Nino menjadi buah mulut ramai kerana fenomena jerebu yang amat teruk melanda negara. Jumlah hujan yang kurang dan cuaca panas adalah ciri asas kesan El Nino kepada Malaysia menjadikan kesan jerebu lebih teruk pada masa berkenaan. Bagaimanapun, ia hanya permulaan kepada episod El Nino. Fenomena ini hanya mula matang pada November lalu dan sehingga pertengahan tahun ini, negara bakal berdepan cabaran sebenar. Perubahan sistem iklim El Nino adalah fenomena berulang yang berlaku dalam kitaran dua hingga tujuh tahun sekali akibat peningkatan suhu Lautan Pasifik secara mendadak, sekali gus mengakibatkan perubahan kepada sistem iklim, terutama pada taburan hujan. Walaupun kawasan utama perubahan ini berlaku di Lautan Pasifik, ia bakal mengakibatkan kesan pada skala global. Saintis kini sudah mula membandingkan El-Nino 2015/16 ini dengan kejadian pada tahun 1982/83 dan 1997/98 yang merupakan fenomena El Nino paling ekstrem pernah dialami dunia. 

Pada masa itu, kawasan barat Pasifik, mengalami hujan lebat yang mengakibatkan bencana seperti banjir dan tanah runtuh di kawasan seperti Peru dan Amerika Syarikat. Di bahagian timur pula, Australia dan Asia Tenggara terpaksa berdepan cuaca kering dan panas sehingga mengakibatkan kebakaran hutan dan bekalan air terjejas teruk. Di negara kita, kesan cuaca panas dan kering El Nino sudah mula kita rasai sejak tahun lalu dan menurut perangkaan ia akan berkekalan sehingga pertengahan 2016. Jabatan Meteorologi sudah membuat ramalan penyusutan jumlah hujan hingga 60 peratus daripada angka normal bakal dialami. Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan banyak pihak. Baru-baru ini beberapa rumah di Kuala Terengganu hampir musnah akibat hakisan pantai. Sekiranya tengkujuh tahun ini dialami dalam kadar sama seperti tahun sebelumnya, kesan hakisan ini sudah pasti akan lebih parah. Tahun ini penduduk Pantai Timur bertuah kerana musim tengkujuh lebih tenang berbanding keadaan biasa. Ini sekali gus mengurangkan impak hakisan yang saban tahun membawa bahaya besar kepada penduduk. Kesan pembangunan tidak terancang dan perubahan cuaca dunia serta peningkatan paras laut menjadikan hakisan sebagai bencana paling kritikal sebaik muncul musim tengkujuh. Sekurang-kurangnya El-Nino meredakan bahaya itu buat seketika. 

Kesan El Nino tidak tertakluk hanya kepada iklim dan atmosfera, sebaliknya kesannya terhadap lautan juga perlu diberi perhatian. Mengikut laporan saintifik sebelum ini, saintis meramalkan dua musim kemuncak air di Laut China Selatan akan mengalami pemanasan, iaitu pada Februari dan September. Pemanasan di permukaan lautan sering mengakibatkan tiupan angin berkurangan dan permukaan lautan akan lebih panas, awan berkurangan, sekali gus mengurangkan hujan. Ini bakal mengakibatkan cuaca panas berpanjangan lebih lama. Dalam keadaan suhu laut lebih panas berbanding normal, kesan paling besar adalah kepada ekosistem lautan di mana jumlah terumbu karang mengalami kelunturan akan meningkat secara mendadak. Kawasan karang ini biasanya menjadi tempat pembiakan ikan dan petunjuk penting terhadap kesihatan ekosistem marin. Pengalaman pada 2010 menunjukkan kelunturan karang yang sangat kritikal di sekitar pulau di Laut China Selatan sehingga sebahagian besar taman laut di Malaysia terpaksa ditutup kepada pelancong. Lebih meruncing lagi, arus lautan juga terganggu akibat El Nino. 

Kebiasaannya pada Ogos dan September, perairan sepanjang pantai timur mengalami proses peningkatan produktiviti lautan yang dikenali sebagai pengaliratasan. Proses ini membawa air lebih sejuk dan bernutrien tinggi kepada permukaan laut dan menjadikan kawasan sepanjang Semenanjung dari Johor hingga Terengganu mengalami peningkatan kadar tangkapan ikan. Bagaimanapun, suhu panas lautan dan kesan angin yang berkurangan bakal memberi kesan besar kepada industri perikanan dan sumber lautan. Kekurangan bekalan air Cabaran ketara bagi Malaysia adalah kekurangan bekalan air yang akan menyebabkan keperluan domestik terjejas. Bagi industri pertanian, ia adalah antara cabaran terbesar yang memerlukan perancangan lebih mapan. Kesan peningkatan harga beras pernah dirasai pada El Nino 2010 akibat pengeluaran padi yang terjejas di rantau ini. Cuaca panas juga bakal menyebabkan penyebaran wabak seperti denggi lebih mudah tersebar. Berdasarkan statistik terkini, Kementerian Kesihatan meramalkan peningkatan wabak berkenaan 50 peratus berbanding normal. 

El Nino bukanlah yang pertama. Kefahaman terhadap kesan El Nino dan pengalaman lalu seharusnya menjadi panduan kepada kita untuk membuat persediaan lebih baik pada masa ini. Bagaimanapun, setiap kali fenomena ini terjadi, ada sahaja perkara baharu yang kita akan pelajari. Dalam keadaan cuaca dunia yang tidak menentu kini, kita perlu bersedia untuk apa juga kemungkinan. 

Penulis ialah ialah Pakar Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/120968

Info Kesihatan : Latihan Pengendali Makanan

Sering kali kita terlihat pengendali makanan di premis-premis makanan mengabaikan keperluan pengendalian makanan yang bersih dan selamat di premis-premis makanan. Contohnya seorang penebar roti canai menghisap rokok semasa menyediakan roti canai di warung atau seorang operator makanan menggaru kepala ketika memproses mi di kilang makanan. Mungkin ia kelihatan remeh tetapi amalan-amalan buruk ini boleh menyumbang kepada pencemaran terhadap makanan. Bagi mereka yang peka tentang amalan-amalan buruk yang dilakukan oleh pengendali makanan tersebut pasti akan membatalkan hasrat membeli makanan di premis tersebut TETAPI perkara ini jarang berlaku.
Pengendali makanan yang tidak menjaga kebersihan
Gambar 1 : Pengendali makanan yang tidak menjaga kebersihan
Menyedari hakikat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewajibkan semua pengendali makanan menjalani Latihan Pengendali Makanan (LPM) di mana-mana institusi yang diiktiraf oleh KKM melalui Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009. Institusi ini dipanggil sebagaiSekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang terdiri daripada syarikat-syarikat swasta, badan berkanun, persatuan, koperasi dan Institut Pengajian Tinggi. KKM bertanggungjawab sepenuhnya dalam aktiviti pengiktirafan dan pemantauan bagi SLPM dan tenaga pengajar yang mengendalikan kursus LPM.
Objektif LPM secara amnya adalah untuk memberi pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan penyediaan makanan yang bersih dan selamat kepada semua pengendali makanan di sektor perkhidmatan dan industri makanan. LPM juga menekankan aspek-aspek asas dalam kebersihan dan keselamatan makanan, termasuk diri pengendali dan premis makanan. Secara tidak langsung, kejadian keracunan makanan di seluruh negara dapat dikurangkan. 
Melalui LPM ini juga, pengendali makanan akan dilatih oleh tenaga pengajar menggunakan modul pengajaran yang disediakan oleh KKM. Sijil kehadiran kursus akan diberikan kepada pengendali makanan yang menghadiri kursus LPM mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.
Pelaksanaan Latihan Pengendali Makanan
Skim Akreditasi Program LPM telah dibangunkan oleh KKM bagi memberi panduan kepada SLPM dan tenaga pengajar yang telah diiktiraf untuk menjalankan kursus LPM. Di samping itu, skim ini juga dapat membantu pegawai di KKM ini untuk menjalankan pemantauan dan pengauditan yang seragam ke atas SLPM dan tenaga pengajar.
 Buku Garis Panduan Program LPM
Gambar 2 : Buku Garis Panduan Program LPM
Pelaksanaan LPM melibatkan aktiviti-aktiviti seperti berikut :
  1. Akreditasi SLPM
  • Proses pengiktirafan yang melibatkan sesebuah institusi atau organisasi bagi membolehkan kursus LPM dijalankan terhadap pengendali makanan.
  1. Pengiktirafan Tenaga Pengajar
  • Proses pengiktirafan yang melibatkan individu yang layak mengajar dan mengendalikan kursus LPM kepada pengendali makanan.
  • Semua calon tenaga pengajar perlu lulus dalam penilaian pengajaran Kursus Wajib Tenaga Pengajar yang diadakan sebanyak 3 sesi setahun.
  1. Antara terma dan syarat yang perlu dipatuhi oleh SLPM dan tenaga pengajar semasa mengendalikan kursus LPM adalah :
  • SLPM dan Tenaga Pengajar diiktiraf oleh KKM.
  • Bayaran bagi 1 sesi kursus untuk seorang peserta adalah RM50.00.
  • Tempoh masa kursus adalah tidak kurang dari 3 jam tidak termasuk waktu pendaftaran, rehat untuk makan dan minum.
  • Bilangan peserta tidak boleh melebihi 30 orang bagi setiap sesi.
Peserta semasa kursus LPM
Gambar 3 : Peserta semasa kursus LPM
  1. Pemantauan dijalankan bagi memastikan SLPM dan tenaga pengajar mematuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh KKM melalui :
  • Audit Pelaksanaan Kursus dijalankan oleh juruaudit JKN/PKD semasa sesi kursus LPM dilaksanakan.
  • Audit siasatan sekiranya aduan pelanggaran terma dan syarat diterima.
  • Sebarang ketidakpatuhan yang ditemui dan dapat dibuktikan, akan dilaporkan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM untuk tindakan selanjutnya.
  1. Tindakan yang dikenakan bagi mana-mana SLPM dan tenaga pengajar yang didapati gagal mematuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan :
  • Surat amaran atau tunjuk sebab.
  • Penggantungan sijil pengiktirafan dalam tempoh 6 bulan hingga 1 tahun.
  • Jika SLPM didapati telah kehilangan fungsi sebagai institusi yang diiktiraf, akreditasi boleh ditarik balik dan disenarai
  1. Kandungan modul yang diguna pakai oleh tenaga pengajar meliputi skop seperti berikut :

No.SeksyenSkop
1.Pengenalani.      Syarat Kursus LPM
ii.     Kuasa Perundangan
iii.    Kepentingan Kebersihan dan Keselamatan Makanan
2.Kebersihan Makanani.      Definisi Kebersihan Makanan
ii.     Diri Pengendali Makanan
iii.    Peralatan
iv.    Premis Makanan
v.     Persekitaran Premis Makanan
3.Keselamatan Makanan

i.      Pemilihan Bahan Mentah
ii.     Kaedah Penyimpanan
iii.    Pengendalian Bahan Mentah
iv.    Penyediaan Makanan
v.     Penghidangan Makanan
vi.    Pengangkutan dan Pengedaran
4.Faktor-Faktor Risiko Keracunan Makanan

i.      Penyenaraian 12 faktor yang boleh menyebabkan keracunan makanan seperti menyentuh makanan dengan tangan, makanan tidak cukup masak, pencemaran silang dan lain-lain.
5.Penutupi.      Tayangan video berkaitan pengendalian makanan yang bersih dan selamat
ii.     Kuiz pendek (Pre- and post-test)
Keperluan menghadiri Latihan Pengendali Makanan
  1. Semua pengendali makanan wajib mengikuti kursus LPM sekali seumur hidup sahaja.
  1. Sekiranya pengendali makanan tidak menghadiri kursus LPM, denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi 2 tahun akan dikenakan.
Bagaimanakah untuk menghadiri Latihan Pengendali Makanan?

  1. Merujuk senarai SLPM yang telah diiktiraf oleh KKM.
  2. Memilih mana-mana SLPM yang berhampiran.
  3. Menghubungi koordinator SLPM bagi mendapatkan maklumat berkenaan tarikh, masa dan tempat kursus LPM.
  4. Mendaftar, membuat bayaran yuran dan menghadiri kursus seperti mana yang telah ditetapkan oleh SLPM.
  5. Menerima dan menyimpan sijil kehadiran kursus LPM yang diberikan oleh SLPM.
  6. Mengamalkan pengendalian makanan yang bersih dan selamat.

Pengendali makanan perlu menjaga kebersihan
Gambar 4 : Pengendali makanan perlu menjaga kebersihan
 Sumber : http://www.myhealth.gov.my/latihan-pengendali-makanan/

Isu Kesihatan : Selamatkah Minuman Dalam Bungkusan Tetra Pak?

KESELAMATAN MINUMAN DALAM BUNGKUSAN
Minuman dengan bungkusan tetra pak
Rajah 1 : Minuman dengan bungkusan tetra pak
Apa Itu Minuman Berbungkus?
Pembungkusan banyak digunakan dalam produk-produk makanan atau minuman seperti susu, jus buah, minuman buah-buahan dan aiskrim. Bahan pembungkus ini adalah seperti kulit yang akan menghalang oksigen daripada memasukinya dan menghalang aroma minuman keluar.
Pembungkusan tetra pak digunakan bagi mengekalkan rasa, nilai nutrisi dan kesegaran makanan. Minuman ini telah melalui proses secara aseptik (aseptically processed) bagi memastikan minuman tersebut selamat diminum pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Sejarah Tetra Pak
Teknologi tetra pak ini berasal dari Sweden dan dicipta oleh Dr. Ruben Rausing pada tahun 1943.
·         Beliau telah menggabungkan pembungkusan Tetra Brik dan teknologi pembungkusan aseptik (aseptic packaging technology) untuk menggantikan rantaian makanan sejuk bagi memudahkan pengedaran dan penstoran/penyimpanan makanan dan minuman.
·         Pembungkusan tetra pak juga telah membantu daripada segipenghasilan minuman tanpa bahan pengawet dan bahan kimia.
Sejarah Tetra Pak
 Apakah Bahan Yang Digunakan?
Bahan bagi pembungkusan tetra pak terdiri daripada beberapa lapisan iaitu :
  1. kertas laminat
  2. polietilena
  • kertas aluminium.
Kombinasi bagi bahan ini berbeza mengikut keperluan kategori makanan dan bahan yang bersentuhan dengan makanan adalah polietilina bergred makanan. Setiap lapisan mempunyai fungsi yang tersendiri bagi melindungi makanan daripada cahaya dan oksigen.
Contoh lapisan bahan pembungkusan tetra pak bagi minuman buah-buahan adalah seperti rajah :
Lapisan bahan pembungkusan tetra pak
Rajah2 : Lapisan bahan pembungkusan tetra pak
Sumber : http://bestbrandsmarketing.com
Bagaimana Untuk Pastikan Minuman Tetra Pak Adalah Selamat ?
Sebagai pengguna, pastikan :
  1. Semasa Membeli
    1. Kotak tidak kemek.
    2. Penutup tidak terbuka.
  • Baca label bagi kandungan ramuan terutama amaran alergi dan sensitiviti.
  1. Semak arahan penyimpanan dan tarikh luput.
  2. Simpan dalam suhu yang dicadangkan bagi penyimpanan selamat.
Contoh gambar bungkusan tetra pak (minuman)
Contoh gambar bungkusan tetra pak (minuman)
  1. Semasa Minum
    1. Gunakan deria anda – Lihat, Hidu dan Rasa.
    2. Jika ada rasa pelik, warna yang berbeza dan bau kurang menyenangkan, JANGAN MINUM.
  • Jika tidak diminum, simpan dalam peti sejuk dan habiskan dalam tempoh yang disarankan.
  1. Selepas Minum
  1. Buang kotak minuman dengan betul dan kitar semula untuk menyelamatkan bumi dan pokok.
Kesimpulan
Pembungkusan membantu kita mendapatkan produk yang dihasilkan dari seluruh dunia secara selamat, bersih, segar dan berkualiti. Kualiti produk berbeza daripada segi tarikh pemprosesan, tarikh luput, cara pemprosesan dan teknologi pembungkusan yang digunakan. Pembungkusan memberikan perlindungan dan keperluan penyimpanan yang berbeza kepada produk sama ada perlu disimpan sejuk atau pada suhu bilik.
Pembungkusan tetra pak dan penggunaan pembungkusan aseptik telah banyak membantu dalam pembangunan teknologi pembungkusan minuman. Ini memberi kelebihan kepada pengguna dalam membuat pilihan dengan kepelbagaian produk yang lebih berkhasiat, segar dan selamat di pasaran malah produk yang merangkumi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.
Sumber : http://www.myhealth.gov.my/selamatkah-minuman-dalam-bungkusan-tetra-pak/
 

Followers

HUBUNGI KAMI

PEJABAT AM - 087-802088
Emel - xba6224@moe.edu.my

GURU BESAR SK PADANG BERAMPAH

GURU BESAR SK PADANG BERAMPAH
EN AG KU JAINUDDIN BIN AG WAHAB

PORTAL INI DISELIA OLEH GURU PENYELARAS BESTARI

PORTAL INI DISELIA OLEH GURU PENYELARAS BESTARI
NURLISA BINTI KAMBA
 
Blogger Templates