Sebagai ibu bapa,
banyak yang anda boleh lakukan untuk menyemaikan tabiat makan yang sihat dalam
diri anak anda. Anda yang menentukan apa yang perlu dimasak dan dihidangkan
untuk keluarga anda. Ini adalah kerana anda merupakan orang yang paling
berpengaruh dalam kehidupan mereka, dan paling layak untuk menggalakkan tabiat
makan yang sihat.
Lebih penting lagi,
anda berpeluang untuk menunjukkan teladan yang baik. Anak-anak menganggap anda
sebagai suri teladan. Lantaran itu, anda boleh memainkan peranan paling
berkesan dalam usaha melentur anak-anak dan membiasakan mereka dengan tabiat
makan yang sihat, baik di rumah mahu pun di luar. Setelah menerapkan amalan ini
dalam diri mereka, anda tidak perlu lagi bimbang tentang kemungkinan mereka
membuat pilihan makanan yang salah.
Malangnya, masih
terdapat ramai ibu bapa di Malaysia yang tidak berusaha untuk memberi anak-anak
mereka makanan yang berkhasiat dan menanamkan tabiat makan yang baik sejak
mereka kecil, atau apabila mereka mula bersekolah.
Jika anak anda cerewet makan,
langkah pertama ialah kenal pasti punca masalah. Adakah mereka tidak mengambil
sarapan? Kurang aktiviti fizikal atau kerap makan snek? Apabila sudah mengenal
pasti puncanya, anda boleh mengambil langkah yang sesuai untuk menangani
masalah ini.
Sebagai ibu bapa, anda memainkan
peranan yang sangat penting untuk memperkasakan diri anda sendiri, supaya anda
dapat menanamkan tabiat makan yang sihat di kalangan anak anda sejak kecil.
Pelajari asas pemakanan yang baik dan turunkan pengetahuan ini kepada anak-anak
anda.
Ajar anak anda memilih makanan
mereka dengan bijak, serta mengamalkan tabiat makan yang sihat dan gaya hidup
aktif sejak kecil. Ini akan memastikan mereka mempunyai asas yang kuat untuk
membesar menjadi remaja dan orang dewasa yang sihat sepanjang hayat.
Artikel penuh klik PAUTAN ini.