Ads 468x60px

SK PADANG BERAMPAH, PETI SURAT 61, 89857, SIPITANG, SABAH.

Labels

Isu Kantin : Pantau Penjualan Makanan Di Sekolah

Pantau Penjualan Makanan Di Sekolah

Ditulis oleh Norkumala binti Awang. Posted in Berita Harian
Senarai makanan yang dilarang dijual di kantin

Musim persekolahan telah pun bermula. Ini bermakna banyak masa anak-anak dihabiskan di sekolah. Bermulanya sesi pembelajaran pada pagi hari, berakhir pada waktu tengah hari dan adakalanya menganjak sehingga waktu petang. Boleh dikatakan sepanjang hari, aktiviti anak-anak dilonggokkan di sekolah termasuklah makan dan minum. Namun, bagaimana pula corak pemakanan anak-anak apabila di luar pemantauan ibu bapa? Secara tidak langsung, pihak kantin sekolah memainkan peranan penting dalam menyediakan makanan untuk anak-anak di sekolah.
Apakah pengusaha kantin sekolah mahupun pihak sekolah sendiri peka dengan perkembangan kesihatan dan pemakanan pelajar-pelajar semasa waktu persekolahan? Atau mereka hanya menjalankan tugas mendidik, menyediakan dan menjual makanan serta mencari keuntungan semata-mata tanpa menilai ia merupakan satu tanggungjawab yang besar?

Senario di kantin-kantin sekolah pada hari ini menghidangkan pelbagai jenis makanan yang menjadi pilihan pelajar-pelajar.  Namun, yang menjadi isu pokok yang dibimbangi ibu bapa ialah jenis dan kepelbagaian makanan yang dijual di kantin adalah makanan rapu, makanan segera dan tidak berkhasiat.

Biarpun sudah ada Garis Panduan Penjualan Makanan dan Minuman di Kantin Sekolah yang dikeluarkan oleh kerajaan menyenaraikan makanan yang sesuai dijual di kantin sekolah, namun ia seolah-olah helaian kertas yang tidak memberi apa-apa makna jelas dan implikasi. Penjualan burger, hotdog, nugget, ‘junk food', minuman ringan dan berperisa terus berleluasa dijual kerana makanan inilah yang paling laris dan menarik perhatian pelajar-pelajar. Bermakna, pengusaha kantin hanya melihat keuntungan yang cepat manakala pihak sekolah hanya memandang isu pemakanan sihat hanya sebelah mata dan ia semata-mata bergantung kepada pemilihan para pelajar.

Di bawah garis panduan tersebut juga menggalakkan pengusaha kantin memastikan tahap keselamatan dan juga kebersihan dalam penyediaan makanan kepada pelajar-pelajar. Oleh itu, pihak kantin tidak harus memandang enteng akan isu ini dan menjadikan ia hanya lontaran idea dan tidak diselaraskan melalui amalan harian dalam penyediaan dan penjualan makanan khususnya.

Kanak-kanak yang banyak mengambil makanan segera dan tidak berkhasiat akan meningkatkan risiko masalah kesihatan. Sekiranya setiap hari dihidangkan dan diberi pilihan dengan makanan tersebut, ia akan menjadi suatu kelaziman dalam amalan pemakanan mereka. Golongan yang masih belum matang ini tidak diberi pilihan dan dipandu untuk mendapatkan yang terbaik dalam pendidikan pemakanan dan status kesihatan mereka.

Kajian yang dijalankan oleh University California of Medical School mendapati kanak-kanak yang mengambil 12 batang atau lebih ‘hotdog' dalam sebulan mempunyai risiko 9 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit leukimia. Penggunaan bahan pengawet, pewarna tiruan dan perisa tambahan dalam makanan segera memberi kesan buruk kepada kesihatan. Banyak risiko kesihatan yang lain akan timbul sekiranya mereka berterusan menjadikan makanan segera sebagai hidangan harian. Contohnya masalah obesiti, kanser, diabetes, penyakit jantung, masalah penghadaman, peningkatan kolestrol dan sebagainya yang akan meruncingkan lagi tahap kesihatan mereka. Ini menjadikan hidup anak-anak tidak berkualiti dan tidak dapat menumpukan kepada pembangunan fizikal, mental dan spiritual yang sihat.

Oleh sebab itu, pendidikan pemakanan sihat perlu diterapkan pada anak-anak. Di samping peranan ibu bapa di rumah, peranan pihak sekolah dan pengusaha kantin perlu disinergikan untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak dalam proses tumbesaran mereka. Pihak sekolah perlu melaksanakan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia menjadi satu batu asas yang kukuh dalam mewujudkan kantin yang sihat dan selamat untuk pelajar sekolah.

Walaubagaimana pun, pelaksanaan garis panduan pemakanan sihat tersebut juga perlu dipantau. Barangkali kerana tiadanya penguatkuasaan daripada pihak atasan, penjual dan pengusaha kantin bebas untuk menjual apa sahaja yang dirasakan memberikan keuntungan berganda dan melariskan penjualan mereka. Pelajar-pelajar sekolah yang akan menjadi mangsa kerana mereka hanya diberi pilihan makanan tidak sihat yang pada pendapat mereka, ia adalah sedap, menarik perhatian, menyelerakan dan memudahkan.

Hal sebegini sewajarnya mendapat perhatian sama ada daripada pentadbir sekolah mahu pun pengurusan atasan. Sekiranya garis panduan tidak dikuatkuasakan, penjualan makanan dan minuman tidak berkhasiat tersebut berleluasa dan tidak dapat dikawal. Malahan, ia memperlihatkan tiada kesedaran dan kerjasama daripada pengusaha kantin. Banyak makanan yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dilarang dijual di semua kantin sekolah termasuklah mi segera, gula-gula, jeruk, kentang goreng dan banyak lagi. Namun, apa yang dilarang, itulah yang dilaksanakan oleh mereka tanpa mempedulikan kesihatan anak-anak. Perkara ini menjadi kebimbangan para ibu bapa kerana anak-anak sudah pasti akan terpengaruh untuk membeli makanan tersebut dan ianya adalah di luar kawalan ibu bapa.

Dalam pada itu, ketegasan pihak berkuasa tempatan juga diperlukan terhadap penjaja kecil yang menjual makanan dan minuman ringan di luar kawasan sekolah. Tidak ada maknanya sekiranya pihak sekolah begitu ketat melaksanakan peraturan pemakanan di kantin, tetapi pelajar boleh mendapatkan makanan tidak berkhasiat dengan mudah di luar sekolah apabila pulang.

Isu ini bukanlah picisan dan boleh dipandang remeh oleh semua individu. Ia tidak hanya berkisar di dalam sekolah sahaja, malah di luar sekolah dan peranan ibu bapa di rumah. Semua pihak perlu memainkan peranan bermula daripada ibu bapa, guru, pihak sekolah, pengusaha kantin, penjaja dan juga pihak berkuasa. Setiap individu perlu ingat bahawa bukan setakat mencari rezeki dari sumber yang halal untuk diberi makan kepada anak-anak yang menjadi tanggungjawab kita, tetapi juga memastikan ia adalah baik (tayyib). Ini kerana pemakanan sihat menjadi teras kepada pembentukan peribadi dan sahsiah anak-anak di samping dengan tumbesaran yang sihat sempurna.

No comments:

Post a Comment

 

JEJAK PELAWAT

GURU BESAR SK PADANG BERAMPAH

GURU BESAR SK PADANG BERAMPAH
EN SAMRAH BIN AG DAMIT

HUBUNGI KAMI

PEJABAT AM - 087-802088
Emel - skpberampah@gmail.com

PORTAL INI DISELIA OLEH

PORTAL INI DISELIA OLEH
PUAN NURLISA BINTI KAMBA

GURU PENYELARAS BESTARI & GURU ICT

SK PADANG BERAMPAH SIPITANG
 
Blogger Templates